Ahad, 22 Februari 2009

Pelajar dakwa cedera dipukul rakan sekelas

23/02/2009 2:07pm
KOTA BHARU 23 Feb. — Akibat menegur kesalahan rakan sekelas, seorang pelajar mendakwa cedera dipukul ketika dalam perjalanan pulang ke rumah setelah tamat waktu persekolahan di Tanjong Mas, Pengkalan Chepa, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang semalam, Ahmad Shafiee Ihsanul Kamil, 16, pengawas di Sekolah Kebangsan Tanjong Mas mendakwa rakan sekelasnya itu datang menyerangnya bersama-sama sekumpulan pelajar lain.
“Ketika itu saya dalam perjalanan balik ke rumah bersama kawan saya, Mohd Nafis Mohd Asri, 16, sebelum tiba-tiba dua buah motosikal dan lima basikal yang dinaiki rakan-rakan sekolah berhenti di hadapan kami.
“Salah seorang daripada mereka yang merupakan rakan sekelas saya itu kemudian datang menendang belakang saya sehingga saya tersungkur ke jalan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, rakannya Mohd Nafis cuba menghalang serangan itu namun dihalang pelajar lain yang datang bersama-sama rakan sekelasnya itu.
“Apabila saya bangun, dia (rakan sekelas) kemudiannya menumbuk dan menerajang saya sehingga tejatuh sekali lagi, selain ada seorang pelajar menendang muka saya beberapa kali,” katanya.
Ahmad Shafiee bagaimanapun berkata, beliau bernasib baik kerana ada seorang wanita berusia lewat 40-an datang meleraikan pergaduhan itu.
Katanya dia kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab Dua (HRPZII) di sini.
Pelajar itu berkata bapanya, Ihsanul Kamil Che Harun, 56, telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu mengenai kejadian itu.